GAJAH PERANG: “KERETA KEBAL” DUNIA PURBA

GAJAH PERANG: “KERETA KEBAL” DUNIA PURBA
OLEH : Arif Penawar Vitiligo
Gajah perang dianggap sebagai “Kereta Kebal” dunia purba sebelum munculnya kereta kebal moden. Ia digunakan di Asia Selatan, Asia Tenggara, Timur Tengah dan Mediterranean kerana saiznya yang besar, kehadirannya yang menakutkan serta kesan psikologi seperti bunyi trompet yang mampu memecahkan moral musuh. Gajah dilatih memijak dan merempuh musuh, memusnahkan perisai serta membawa pemanah di atas menara kecil di atasnya, menjadikannya unit tempur paling berkuasa pada zaman tersebut.
Antara pertempuran gajah perang terbesar ialah Battle of Raphia (217 SM) antara Ptolemy IV (Mesir Ptolemaic) dan Antiochus III (Empayar Seleucid) berhampiran Gaza. Seleucid menggunakan 102 ekor gajah manakala Ptolemaic 73 ekor, menjadikan jumlah keseluruhan 175 ekor. Suatu jumlah yang sangat besar pada zaman tersebut. Dalam pertempuran ini, timbul masalah besar kerana Mesir menggunakan gajah Afrika Utara yang lebih kecil manakala Seleucid menggunakan gajah India/Asia yang lebih besar. Gajah Afrika ketakutan dan melarikan diri, menyebabkan sayap kiri Mesir porak-peranda. Namun Mesir tetap menang melalui kekuatan infantri mereka.
Gajah berhenti digunakan dalam peperangan kerana beberapa kelemahan. Gajah tidak stabil ketika panik dan boleh merempuh tentera sendiri, kemunculan senjata baru seperti panah berapi, lembing panjang dan meriam, serta kos penjagaan yang tinggi. Menjelang Zaman Pertengahan Eropah, penggunaan gajah merosot kecuali di India dan Asia Tenggara.
Di Burma (Pagan, Ava, Toungoo), gajah digunakan untuk merempuh kubu, memanjat cerun bukit, menarik meriam berat dan membawa jeneral dalam turet. Banyak peperangan Burma–Ayutthaya, termasuk penawanan Ayutthaya pada 1767, bermula dengan serangan gajah perang. Di Khmer/Angkor, ukiran Angkor Wat menggambarkan askar Khmer menaiki gajah dengan lembing dan tombak. Gajah Khmer dilatih merempuh pintu kota, mematahkan tombak panjang dan mengangkat askar musuh. Mereka juga antara yang terawal menggunakan howdah (turet) untuk pemanah.
Kesultanan Melayu turut menggunakan gajah walaupun tidak sebesar Ayutthaya atau Burma. Di Melaka, gajah digunakan dalam peperangan dan membawa bekalan. Patani, Kedah dan Pahang menggunakan gajah untuk pertahanan istana, pergerakan tentera dan sebagai kenderaan diraja. Ia kekal lambang kuasa dan prestij raja.
Antara pertempuran paling terkenal ialah “The Elephant Duel” antara Naresuan (Ayutthaya) dan Minchit Sra (Burma). Mereka bertarung satu lawan satu di atas gajah, dan Naresuan menang serta dianggap wira Thai.
Kelemahan gajah perang termasuk ketakutan terhadap api;. Panah berapi boleh membuat gajah panik dan merempuh askar sendiri. Senjata api seperti senapang matchlock dan meriam menjadikan gajah lebih mudah cedera. Jika gajah hilang kawalan, mahout terpaksa membunuh gajah sendiri menggunakan paku panjang atau kapak kecil untuk menyelamatkan pasukan.
Pada zaman 1800-an, kemunculan meriam moden, senapang jarak jauh dan taktik infantri baru menyebabkan gajah perang tidak lagi praktikal. Namun, gajah terus digunakan dalam kerja logistik di Burma, Siam dan Tanah Melayu hingga awal abad ke-20.