“BERSERKER RAGE” KERANA BERHALUSINASI

No photo description available.

“BERSERKER RAGE” KERANA BERHALUSINASI
OLEH : Arif Penawar Vitiligo

Berserker ialah unit pahlawan elit dalam budaya Norse yang paling digeruni pada zaman Viking, dikenali kerana kemampuan bertempur dalam keadaan “amok” yang luar biasa. Mereka bukan sahaja kuat, tetapi seolah-olah hilang terus rasa takut, sakit, dan kawalan diri.

Manuskrip-manuskrip lama menyebut mereka masuk ke medan perang sambil melolong seperti serigala, memukul dada sendiri, dan menggigit perisai hingga meninggalkan kesan gigi. Musuh percaya mereka dirasuk kuasa gelap.

Namun penyelidikan moden mencadangkan penjelasan yang lebih saintifik dan mind-blowing. Keadaan ganas mereka mungkin berpunca daripada pengambilan cendawan yang boleh menyebabkan halusinasi iaitu Amanita Muscaria.

Amanita Muscaria, cendawan merah berbintik putih yang sering dilihat dalam ilustrasi dongeng, sebenarnya mengandungi bahan beracun yang boleh mengubah kesedaran, merangsang sifat menjadi agresif, menyebabkan kehilangan sensasi sakit dan mencetuskan halusinasi visual. Kesan awalnya akan memberi Berserker tenaga luar biasa, tubuh terasa kebal, dan minda menjadi penuh dengan imaginasi liar.

Ketika berada di bawah pengaruhnya, seseorang boleh hilang kawalan, menyerang tanpa rasa takut, bahkan tidak menyedari luka pada diri sendiri. Ini merujuk kepada deskripsi lama tentang Berserker yang boleh terus bertempur walaupun berdarah, dan kadang-kadang membunuh rakan sendiri tanpa sedar.

Selain itu, amalan ritual sebelum perang juga menguatkan teori ini. Ada catatan menunjukkan kelompok Berserker tertentu berkumpul dalam bulatan, menari, menjerit, dan meminum campuran herba sebelum pertempuran. Jika cendawan halusinasi memang digunakan, maka ia akan melengkapkan keseluruhan proses “transformasi” mereka menjadi mesin perang yang tidak terkawal.

Namun, apabila kesan cendawan mula menurun, tubuh mereka akan menjadi lemah, muntah-muntah, dan mengalami keletihan ekstrem sejajar dengan catatan sejarah yang menyebut bahawa Berserker selalunya tidak dapat bergerak beberapa hari selepas kemarahan mereka reda.

Walaupun kekuatan mereka menakutkan musuh, unit Berserker sebenarnya membawa banyak masalah kepada raja-raja Norse. Mereka tidak boleh dikawal sepenuhnya. Dalam keadaan hilang sedar itu, mereka kadang-kadang membunuh tentera sendiri, merosakkan kampung yang sepatutnya mereka lindungi, dan menjadi ancaman kepada kestabilan politik dan masyarakat.

Tambahan pula, masyarakat Kristian yang mula berkembang di Scandinavia menganggap perilaku mereka sebagai amalan syaitan yang perlu dihapuskan.

Akhirnya, Raja Harald Fairhair, raja pertama Norway yang menyatukan wilayah-wilayahnya telah mengambil tindakan tegas. Baginya, tentera yang tidak dapat dikawal adalah liabiliti besar.

Maka, unit Berserker diharamkan secara rasmi. Rekrut baharu dilarang mengikuti ritual lama, penggunaan cendawan dianggap amalan terlarang, dan mana-mana pahlawan yang menunjukkan kelakuan “amok” akan dihukum.

Larangan ini menyebabkan Berserker hilang fungsi rasmi mereka dalam tentera, dan lama kelamaan hanya kekal sebagai legenda dalam tamadun Norse.

Walaupun Berserker digambarkan secara epik dalam cerita moden, hakikatnya mereka mungkin hanyalah manusia biasa yang didorong oleh gabungan budaya ritual, tekanan perang, dan bahan psikoaktif yang kuat. Ironinya, kehebatan mereka yang kelihatan supernatural itulah juga yang membawa kepada pengharaman dan pembubaran mereka.

Kini, Berserker terus menjadi antara salah satu kisah paling pelik dan masih dikaji dalam sejarah ketenteraan dunia.