BAB 6 – BAYANG YANG MEMBAKAR

SUMPAH NUSANTARA
OLEH : Arif Penawar Vitiligo
BAB 6 – BAYANG YANG MEMBAKAR
Hujan telah lama berhenti, tapi tanah di hulu Sungai Kinta masih lembap dan berbau besi tempaan senjata.
Beberapa minggu berlalu sejak Panglima Alam mendapat izin bernaung di bawah lindungan Sultan Muzaffar Shah.
Kini, di tengah hutan, satu kem rahsia telah terbentuk, pondok-pondok kecil, tempat latihan tombak dan panah, dan suara perajurit sedang berlatih yang mula pulih semangatnya.
Namun di sebalik bunyi tempaan senjata dan latihan perwira, ada sesuatu yang halus menyelinap. Sesuatu yang tidak kelihatan. PENGKHIANATAN.
Malam itu, Panglima Alam duduk di tepi unggun api bersama panglima muda bernama Megat Lela, orang tempatan yang telah membantu mereka sejak hari pertama tiba.
Megat Lela petah berbicara, bijak menenangkan semangat pasukan, dan disukai ramai.
Namun bagi Alam.. Hatinya tidak pernah benar-benar tenang terhadap lelaki itu.
“Megat,” ujar Alam perlahan. “Ada orang Melaka yang melapor kepadaku. Bekalan kita sering dipintas musuh, dan lokasi kem hampir diketahui orang luar.”
“Tuan tidak percaya pada orang Perak, kah?” Megat Lela tersenyum nipis, matanya tidak bertemu pandang.
“Kepercayaan bukan diberi, Megat. Ia dibayar dengan kesetiaan,” balas Alam, tenang tapi tajam.
Malam terasa panjang. Hujan renyai turun lagi. Dan di sebalik kegelapan, seorang lelaki berpakaian hitam menyelinap keluar dari kem, menunggang kuda ke arah selatan. Ke pelabuhan rahsia Portugis di Teluk Intan.
Di tangannya, ada sepucuk surat bertanda lambang Salib Portugis!
Tiga hari kemudian, bala tentera Portugis yang diketuai oleh Kapten Diego Fernandes tiba-tiba menyerang dari arah sungai. Letupan pertama meriam Portugis memecah subuh. Api mula menyambar khemah. Anak panah dan bedilan senapang bertaburan di angkasa mencari mangsanya, dan jeritan kawan dan lawan memenuhi hutan.
Panglima Alam segera berlari keluar dari pondoknya, menjerit:
“Semua lekas ke posisi masing-masing! Jaga gudang-gudang kita! Lindungi makanan dan ubat-ubatan!”
Namun terlalu ramai perajurit yang terkorban dan cedera akibat dibedil peluru hendap meriam dan senapang Portugis, malahan jalan belakang untuk melarikan diri juga sudah dikepung.
Panglima Alam segera sedar yang musuh tahu lokasi mereka dengan tepat. Dan itu hanya boleh berlaku kerana seseorang dari dalam telah membuka jalan.
Dalam kekacauan itu, beliau melihat Megat Lela berlari ke arah sungai. Tetapi bukan untuk bertempur.
Dia menikam dan menolak seorang perajurit yang cuba menghalangnya dan melompat ke atas perahu kecil yang telah sedia ditambat di tepi tebing.
“Megat! Berhenti!” jerit Alam sambil mengejar. “Kau jual darah bangsamu sendiri?!”
Megat berpaling, separuh wajahnya disinari cahaya api. Tersenyum sinis penuh muslihat. “Bangsaku sudah mati sejak Melaka jatuh! Aku hanya pilih pihak yang menang!”
Sebelum Alam sempat mendekat, peluru meriam Portugis meletup di antara mereka. Gelombang besar air dan tanah membuatkan Alam terhumban ke arah sungai. Kepala Panglima Alam terasa berpinar-pinar seketika.
Ketika Alam bangun dalam kepayahan, perahu Megat Lela sudah hilang ditelan arus. Pertempuran berakhir menjelang tengah hari. Pihak Portugis berundur sementara untuk mengumpul kekuatan.
Ramai terkorban di pihak Panglima Alam. Gudang-gudang mereka hampir semuanya musnah, dan separuh kem rentung dibakar oleh pihak musuh.
Namun Panglima Alam masih berdiri di antara mayat dan abu, matanya merah berair dan suaranya parau. “Hari ini kita kalah kerana mulut yang kita percaya,” katanya kepada saki baki perajurit yang tinggal.
“Tapi akan ku buru pengkhianat itu. Walau sampai ke hujung dunia sekalipun, pengkhianat takkan boleh dibiarkan hidup!”
Langit Perak sekali lagi menjadi kelabu kehitaman dek asap yang membakar daulatnya oleh Portugis.
Dan di dalam hatinya, Panglima Alam sedar yang musuh di depan tidak lagi paling menakutkan. Yang benar-benar berbahaya ialah bayang yang pernah berdiri di belakangnya.