BAB 1 – PERAJURIT PINCANG DARI MELAKA


SUMPAH NUSANTARA
OLEH : Arif Penawar Vitiligo
BAB 1 – PERAJURIT PINCANG DARI MELAKA
Asap masih bergulung dari arah selatan. Di kejauhan, cahaya merah membakar langit senja. Melaka sedang nazak di bawah kerakusan nafsu bangsa asing. Langkah-langkah lesu kedengaran di celah belukar. Beberapa orang perajurit Melayu, tubuh bercampur lumpur dan darah, berundur perlahan-lahan menyusuri laluan sempit menuju ke arah utara. Nafas mereka berat, mata mereka kosong seolah-olah antara hidup dan mati.
Di hadapan mereka, Panglima Alam, berumur dua puluh enam tahun, berdiri tegak dengan tombak di tangan kanan, matanya tajam memerhati ke belakang. Setiap desiran daun membuatkan jantungnya berdegup kencang.
“Jangan berhenti! Teruskan ke utara… Ke Perak,” katanya perlahan tapi tegas. “Kita belum kalah selagi tanah ini masih menyeru nama kita.”
Seorang hulubalang muda, berlumuran darah di lengan, menyahut dalam termengah-mengah,
“Tapi tuan… Mereka ramai… Portugis itu seperti ombak, datang silih berganti, tak pernah surut..”
Panglima Alam berpaling. Wajahnya tegang, namun matanya menyimpan bara dendam yang belum padam.
“Kalau ombak tak pernah surut, doa dan darah kita juga takkan kering. Kita akan kembali. Tapi bukan sekarang.”
Petir berkilat di langit, diikuti deruman guruh. Hujan pertama selepas kejatuhan Melaka mulai turun membasuh darah, tapi bukan maruah.
Malam itu, mereka berhenti di tepi sungai kecil. Panglima Alam duduk termenung di bawah pokok merbau, menatap keris pusaka di tangannya. Bilahnya retak, ukiran jawi di pangkalnya hampir terpadam. Ia bukan sekadar senjata, ia simbol sumpah leluhur bahawa tanah ini takkan dibiarkan dijajah tanpa putih mata.
“Melaka jatuh bukan bermakna Melayu rebah…” bisiknya pada diri sendiri. Di kejauhan, bunyi gendang perang Portugis sudah semakin jelas.
BERSAMBUNG…