BAB 4 – HUTANG DARAH

No photo description available.

SUMPAH NUSANTARA
OLEH : Arif Penawar Vitiligo
BAB 4 – HUTANG DARAH

Fajar menyinsing tanpa sinar damai. Asap hitam masih berlegar di langit muara. Burung-burung enggan terbang rendah, seolah tahu tanah di bawah mereka sedang menunggu tumpahan darah baharu.

Di pangkalan kecil tepi sungai, Panglima Alam memerhati dari jauh. Serangan malam tadi berjaya, tapi kemenangan itu kecil, dan sekejap. Beliau tahu Portugis tidak akan berdiam diri.

Dan benar. Ketika matahari mula naik, deruman bedilan meriam memecah kesunyian. Tanah bergegar. Air sungai terpercik tinggi. Dari arah selatan, kelihatan tiga kapal perang Portugis mara ke muara, meriamnya terarah ke daratan.
Bendera merah salib putih berkibar megah di udara pagi yang muram.

“Mereka datang lebih cepat dari sangkaan,” ujar Panglima Rahim dengan nada gusar. Kita tak punya meriam, tak punya kubu!”

Panglima Alam menggenggam tombaknya. “Kita punya tanah ini, pokok-pokoknya, dan nyawa kita. Itu sudah cukup.”

Dentuman meriam bergema lagi. Tanah bergegar, pokok-pokok tumbang. Api mula merebak ke pondok-pondok nelayan. Jeritan wanita dan anak-anak bergema di udara.

Alam memberi isyarat:
“Pisahkan orang kampung! Bawa mereka ke hutan belakang. Yang tinggal, bertahan!”

Askar-askar Portugis mendarat dengan kelengkapan berat. Mereka lengkap bersenjata api dan perisai besi, mata mereka liar mencari musuh yang tak kelihatan. Dalam hutan, perajurit Melayu sudah bersedia. Senjata mereka sederhana, tombak, parang, keris dan panah, tapi jiwa mereka teguh.

Serangan hendap pun bermula. Panah terbang dari arah belukar, menembusi dada askar pertama. Suara jeritan bergema, tapi askar Portugis segera membalas dengan tembakan. Asap belerang menutup pandangan. Pertempuran bertukar kacau-bilau.

Panglima Rahim melompat dari belakang pokok, menikam leher seorang Portugis dari sisi. Tapi sebelum sempat menarik balik bilah keris, tembakan senapang meletup dari jarak dekat. Peluru menembusi dadanya. Rahim terundur beberapa langkah, darah memancut di antara jari.
 
Panglima Alam sempat menoleh wajah sahabatnya semakin memucat di celah asap.
“Rahim!”
Beliau berlari, menangkis dua serangan tombak panjang Portugis berturut-turut sebelum sampai ke sisi sahabatnya. 

Rahim menggenggam tangan Alam dengan sisa tenaga terakhirnya. “Alam… Jangan biar mereka… Pijak maruah kita…”
Senyumnya hilang perlahan, bersama degup jantung terakhir.

Panglima Alam menunduk, wajahnya berlumuran darah dan debu. Kemarahannya memuncak. Beliau bangun, menjerit sekuat hati, “Untuk Melaka! Untuk Rahim!”

Jeritannya menggetarkan semangat semua perajurit. Serangan mereka menjadi gila seperti ribut dari dalam hutan. Berpuluh tentera Portugis ditikam dan dipancung. Kepala-kepala manusia berterbangan, bergolek seperti buah kelapa. Portugis yang terkejut berundur seketika, namun bala bantuan baru dari kapal sudah tiba.
Mereka akhirnya terpaksa berundur ke hulu sungai, meninggalkan tanah yang terbakar dan korban yang ramai.

Langit kembali muram, dan hujan turun perlahan, seolah turut berkabung. Di tebing sungai, Panglima Alam berdiri sendirian. Jasad Rahim dan perajurit lain telah dibawa oleh air, hanyut ke hilir bersama dedaun dan lumpur.
“Kau jatuh bukan sebagai mangsa… tetapi SUMPAH,” bisik Alam.
“SUMPAH bahawa perjuangan ini takkan berhenti.”
Kilat menyambar lagi, menggulung suara guruh di langit Perak, dan di dalam hatinya, SUMPAH baharu dilakar.
 
BERSAMBUNG…